-

Wednesday, August 11, 2010

Hadis-hadis Sahih tentang tawaran di bulan Ramadhan


Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu" - (Hadis Sahih-Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Apabila datang bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu syurga." - (Hadis Sahih-Riwayat Bukhari)

Dari Salman r.a., katanya., Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir bulan Syaaban, sabdanya yang bermaksud,

1."Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).

2. Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu ) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya.

3. Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan- samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain.

4. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Alllah pada bulan itu-samalah seperti ia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain.

5. Bulan Ramadan juga adalah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga; ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman.

6. Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun. Sahabat-sahabat Baginda berkata, "Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa." Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan, "Allah Taala akan memberikan pahala tersebut kepada sesiapa menjamu orang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu bercampur air."

7. Bulan Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka.

8. Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadan, akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka.


9. Banyakkan kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Adapun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah pertama,mengucap Asyhadu an la ilaha illallah," kedua, banyakkan beristighfar (memohon ampun) kepadaNya dengan menyebut Astaghfirullah. Adapun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah, pertama, (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga, serta berlindung kepada-Nya dari azab neraka – dengan menyebut Nas aluka jannah wana uzubika minannar."


10. Dan selain itu, (sabda baginda lagi), "Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga." - (Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya yang bermaksud, "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadan, menyerulah malaikat, katanya, "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hemdak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka-daripada memasukinya" – (Riwayat Tarmizi dan Nasa'i) Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadan).

RUKUN PUASA

1- Niat puasa Ramadan malam pertama:-

"Sahaja aku berniat puasa Ramadan esok hari kerana Allah Taala dan sahaja aku berniat puasa sebulan Ramadan kerana Allah Taala."

MALAM KEDUA dan seterusnya boleh di ulangi niat :

"Sahaja aku berniat puasa Ramadan esok hari kerana Allah Taala."

MASA BERNIAT :

Selepas berbuka sehingga lah sebelum terbit fajar.

2- Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari seperti:-

- memasukkan sesuatu dengan sengaja pada rongga yang terbuka seperti mulut, telinga, hidung dan dua laluan najis.

SUNAT BERDOA SELEPAS BERBUKA PUASA:-

" اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقَكَ أَفْطَرْتُ وَبِكَ ءاَمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَرَحْمَتَكَ رَجَوْتُ وَاِلَيْكَ أَنَبْتُ"








Ramadhan Kareem & Selamat Berpuasa ^-^


No comments:

Post a Comment